Sejarah Penubuhan

ASAS PENUBUHAN DARUL HANAN

’Darul Hanan’ bermaksud ’Rumah Kasih Sayang’ adalah sebuah rumah anak yatim dan miskin yang diurus Persatuan terbabit, iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bebas.

Darul Hanan ialah sebuah badan kebajikan yang cukup unik. Penubuhan Persatuan ini pada tahun 1992 adalah berdasarkan kepada rasa tanggungjawab YBhg Puan Sri  Noorzilah, selaku pengasas dan Pengerusi, Darul Hanan serta Ahli Jawatankuasa beliau untuk merapatkan kasih sayang sesama mereka yang kurang bernasib baik serta membela nasib anak-anak yang kehilangan ibubapa.


Hasil daripada usaha para keahlian, persatuan  berjaya mendirikan rumah anak yatim dan miskin yang dikenali sebagai Darul Hanan di atas sebidang tanah seluas 4 ekar berhampiran Masjid Jamik Pasir Gudang yang telah diwakaf. Bangunan pertama Darul Hanan mula dibina pada 1992 dan menerima kemasukan kumpulan pertama seramai 31 orang anak perempuan pada 10 Januari 1993.


Harapannya adalah untuk menjadikan Darul Hanan sebagai tempat berteduh yang memberi sinar kepada anak-anak yang memerlukannya dan memastikan mereka dapat memperolehi kehidupan yang lebih sempurna untuk masa depan serta menerapkan nilai-nilai kekeluargaan yang positif sesama mereka. Kemudian, pada 21 November 1995, Darul Hanan mula menerima kemasukan kumpulan anak lelaki seramai 31 orang.


Ia juga dibuat atas dasar menyumbang bakti kepada masyarakat di kawasan berhampiran, yang mana masih terdapat ramai anak-anak yatim dan miskin yang belum mendapat perhatian dan pembelaan serta atas kesedaran tiada siapa lagi akan membantu anak-anak ini melainkan masyarakat sekelilingnya.

KONSEP PEMBINAAN DARUL HANAN

PELETAKAN BATU ASAS & PENGAMBILAN ANAK
Pembinaan Darul Hanan (P) telah mula dibina pada 11 Disember  1992 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1413 yang mana Majlis meletak Batu Asas DARUL HANAN telah di sempurnakan oleh DYMM Baginda Sultanah Zanariah Binti Almarhum Tunku Ahmad, dan ikuti Majlis Menyambut masuk anak-anak pada 10 hb. Januari 1994  bersamaan 28 Rejab 1414, dengan mengambil 30 orang kanak-kanak perempuan. Pembinaan Darul Hanan  (L) pada 21 November 1995 dengan pengambilan anak lelaki seramai   31 orang anak dan di sempurnakan oleh YBhg Tan Sri Mohammad Ali Bin Hashim, Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap YG DiPertua Pihak Berkusa tempatan (MPPG) pada ketika itu.

DEWAN AJWA
Kini Persatuan Kebajikan Darul Hanan telah mengorak langkah dengan membina DEWAN SERBAGUNA “DEWAN AJWA” untuk kemudahan pada penghuninya dengan hasil daripada Jualan Amal Kurma Ramadan.

Pembinaan Dewan AJWA pada 2005 di Darul Hanan Perempuan telah dapat direalisasikan hasil daripada Projek Khas  yang telah diilhamkan oleh YBhg Puan Sri  Noorzilah Binti Mohammed Ali, Pengerusi Persatuan kebajikan Darul Hanan itu melalui Projek Jualan amal Kurma Ramadan. Projek tersebut telah diusahakan semenjak tahun 2001 hingga 2005. Nama ’Ajwa’ itu sendiri diambil daripada nama kurma yang dijual dalam projek tersebut.

DEWAN ANNUR
Majlis Perasmian Dewan ANNUR oleh YBhg Puan Sri Noorzilah Binti Mohammed Ali, Pengerusi Persatuan Kebajikan Darul Hanan pada 30 Mac 2012.

Di bina atas sebidang tanah seluas 4 ekar  di kurniakan oleh Kerajaan Negeri atas nama PKENJ dengan syarat khas digunakan untuk Tapak Bangunan Asrama anak-anak Yatim dan lain-lain bangunan yang berkaitan dengannya, kini bangunan serta tapak tersebut telah diwakafkan ke Majlis Agama Islam Negeri Johor pada 2002 & 2023.

Berdasarkan kepada tujuan dan harapan penubuhan Darul Hanan “ Rumah kasih Sayang “  serta untuk menerapkan ciri-ciri Kekeluargaan bagi mengelakkan masalah sosial kemudian hari, maka pembinaannya di buat atas pemilihan konsep Rumah Banglo dua tingkat  Khas  setiap satu untuk anak Perempuan dan Anak Lelaki.

Setiap rumah mempunyai :

Di tingkat Atas
3 buah bilik tidur yang dilengkapi dengan  kamar mandi, bilik persalinan
 bilik sembahyang,

Di tingkat bawah
Ruang makan, ruang tetamu serta ruang pejabat
Ruang belajar & perpustakaan
Serta ruang legar untuk istirehat dan riadah
 
Kosep sebegini membuatkan setiap penghuninya berasa bagai berada di dalam sebuah keluarga besar dan bahagia.

Kos pembinaan sebuah rumah sahaja adalah sebanyak RM 575,000. Bagi membiayai kos pembinaan ini,  Pertubuhan /Ahli telah melaksanakan pelbagai projek untuk pengisian tabung khas dengan mengadakan jualan malam amal, jualan barangan terpakai, derma & sumbangan syarikat di kawasan Pasir Gudang dan Syarikat dalam kumpulan JCorp.